Berita Saham Terkini

Wen

Well-known member
Saham tempatan kembali pikat pelabur asing

Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Pelabur asing membeli bersih saham tempatan bernilai RM117.5 juta pada minggu pertama Februari 2021 berbanding dengan dijual RM535.5 juta pada minggu sebelumnya.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata ia aliran masuk bersih asing mingguan kali kedua yang dicatatkan Bursa Malaysia setakat tahun ini.

"Ini permulaan yang baik bagi minggu lalu untuk Bursa Malaysia apabila pelabur antarabangsa membeli ekuiti tempatan secara ketara bernilai RM179.7 juta bersih pada Selasa," katanya kepada Bernama.

Pasaran ditutup pada Isnin lalu susulan cuti Hari Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, harga saham syarikat pembuat sarung tangan getah, seperti Top Glove, melonjak 4.6 peratus memandangkan pelabur runcit terus membeli saham itu dalam keadaan pengaruh daripada media sosial dalam usaha memberi tekanan kepada penjual singkat.

Di peringkat luaran, Adam berkata sentimen positif dalam pasaran muncul pada Selasa selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan kongres di pihak Demokrat menunjukkan hasrat mereka bagi rang undang-undang bantuan pandemik bernilai besar.

Hasrat itu kemungkinan dilaksanakan tanpa sokongan Republikan walaupun setelah pertemuan antara Rumah Putih dengan para senator daripada blok itu diadakan, yang kedua-dua pihak menyifatkannya sebagai 'produktif', katanya.

Beliau berkata, harga saham pembuat sarung tangan getah pada indeks FBM KLCI mengalami penurunan pada Jumaat dan ini menunjukkan pelabur runcit mungkin tidak mempunyai kekuatan kewangan untuk menyokong aktiviti pembelian yang amat rancak bagi sektor ini.

"Justeru, pelabur asing mungkin mengambil pertunjuk daripada aktiviti pembelian yang lebih perlahan oleh pelabur runcit tempatan dan kekal tidak memasuki pasaran.

"Berasaskan 2021 setakat ini, pelabur antarabangsa telah menjual ekuiti tempatan bernilai RM717.1 juta bersih," katanya.

Adam berkata, berbanding dengan bursa serantau yang lain iaitu Thailand, Indonesia dan Filipina, Malaysia merekodkan aliran keluar asing terkecil bagi tahun ini setakat ini manakala Thailand mencatatkan aliran keluar asing terbesar tahun ini setakat ini iaitu AS$664.0 juta.

"Sementara itu, Indonesia satu-satunya negara yang mencatatkan aliran masuk asing tahun ini setakat ini dengan nilai AS$1.1 bilion bersih dalam kalangan negara Asia Tenggara yang kami pantau," katanya.

Dari segi penyertaan, pelabur runcit mencatatkan penurunan nilai dagangan harian purata (ADTV) 14.55 peratus manakala pelabur asing dan institusi tempatan masing-masing ADTV turun sebanyak 9.68 peratus dan 19.85 peratus.

Sementara itu, Penyelidikan MIDF menerusi laporan aliran dana mingguan menjelaskan ketika pasaran dibuka semula pada Selasa, pelabur runcit dan institusi tempatan masing-masing menjadi penjual bersih dengan masing-masing bernilai RM6.01 juta dan RM173.10 juta.

"Penjualan berterusan pelabur asing berikutnya tidak dapat mengatasi aliran masuk dana pada Selasa. Aliran keluar asing terbesar dicatatkan pada Jumaat dengan nilai RM38.78 juta dan aliran keluar terkecil pada Rabu iaitu hanya RM4.90 juta sahaja," menurutnya.

sumber
 

Recommended Brokers

Kami hanya memilih broker yang terbaik!

INTRADAY Squawk

Klik Play ▶️ / tajuk berita untuk dengar Recap Pasaran

Live Forex Price

Live Crypto Price

Top