Berita Saham Terkini

tupat

Moderator
Staff member
Moshed Trader Club
BURSA DIBUKA TINGGI PADA HARI INI.

Pasaran tempatan meneruskan momentum kenaikan semalam apabila Bursa Malaysia dibuka tinggi pada hampir kesemua indeks hari ini.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran meningkat 1.78 mata kepada 1,502.13.

Bernama melaporkan, indeks utama itu dibuka 5.13 mata lebih tinggi kepada 1,505.48.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 212 berbanding 155, sementara 263 kaunter tidak berubah, 1,520 kaunter tidak diniagakan dan 79 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 250.99 juta unit bernilai RM178.59 juta.

Penganalisis berkata indeks itu dijangka kekal pada prestasi positif, disokong oleh pembelian semasa harga rendah yang berterusan namun pergerakan dalam jajaran kecil.

“Pelabur institusi ketika ini menjalankan pembelian semasa harga rendah ke atas saham-saham yang mengalami penurunan manakala kebanyakan pelabur runcit tidak memasuki pasaran bagi menunggu hala tuju pergerakan seterusnya.

“Ini boleh dilihat menerusi penurunan jumlah unit yang bertukar tangan sejak awal minggu ini,” katanya.

Beliau berkata dari sudut unjuran teknikal, pergerakan KLCI akan berada dalam jajaran kecil hari ini dengan paras rintangan serta-merta pada 1,510 manakala paras sokongan pada 1,485.

Antara saham berwajaran tinggi, Hartalega menambah 16 sen kepada RM18.44, Sime Darby naik lima sen kepada RM2.45, Petronas Gas meningkat 14 sen kepada RM16.16, Sime Darby Plantation and Dialog masing-masing menokok tiga sen kepada RM4.90 dan RM3.73.

Hartalega dan Petronas Gas muncul sebagai saham paling untung selain Pasifik Malaysia yang melonjak 34 sen kepada RM22.88 dan Kuala Lumpur Kepong yang menambah 10 sen kepada RM22.46.

Kalangan saham aktif, Tech Vivocom naik setengah sen kepada lima sen dan Pestaiang menokok sembilan sen kepada 50 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 16.97 mata kepada 10,885.04, Indeks FBMT 100 meningkat 14.01 mata pada 10,690.12 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 33.16 mata kepada 13,068.65.

Sementara itu, FBM 70 meningkat 24.01 mata kepada 14,357.05 dan FBM ACE susut 2.13 mata kepada 10,003.20.

Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 6.77 mata kepada 12,306.15, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.06 mata kepada 144.80 dan Indeks Perladangan menambah 26.24 mata kepada 6,967.81.

SUMBER
 

tupat

Moderator
Staff member
Moshed Trader Club

Dua Sektor Dijangka Menyerlah.​


Bursa Malaysia meneruskan aliran peningkatan semalam apabila dibuka tinggi hari ini, menjejaki prestasi Wall Street ketika kiraan undi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) masih dijalankan.

Pada 9.06 pagi ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 10.98 mata kepada 1,475.59 selepas dibuka 4.25 mata lebih tinggi kepada 1,468.86.

Bernama melaporkan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 362 berbanding 103 manakala 233 kaunter tidak berubah, 1,443 tidak diniagakan manakala 28 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 385.16 juta bernilai RM191.52 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, walaupun pemilihan presiden AS masih berlangsung, kalangan pelabur sebaliknya menarik nafas lega kerana kedua-dua parti itu tidak menguasai kerusi majoriti di Senat mahupun Dewan Perwakilan.

“Ini bermakna, sebarang perubahan dasar yang ketara sukar untuk diketengahkan.

“Selain itu, kami juga berpendapat aktiviti belian secara bergilir-gilir membabitkan saham-saham berharga rendah akan ketara dalam tempoh terdekat ini berikutan sentimen pasaran yang positif,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Setakat pagi ini, calon Presiden daripada Parti Demokrat Joe Biden sedang mendahului Presiden Donald Trump yang mewakili Republikan, dalam undian elektoral.

Mana-mana calon perlu memenangi sekurang-kurangnya 270 undi elektoral daripada jumlah keseluruhan sebanyak 538 untuk menduduki kerusi Presiden.

Dalam pada itu, firma pembrokeran itu berkata sektor perladangan dijangka mendapat minat dagangan selanjutnya berikutan kenaikan harga minyak sawit mentah yang kian menghampiri paras RM3,100 satu tan.

“Kami juga melihat sektor pembinaan akan terus mendapat minat susulan pembentangan Belanjawan 2021 yang dijangka menyaksikan projek-projek mega prasarana diketengahkan,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik lima sen kepada RM7.05, Hartalega meraih enam sen kepada RM17.90, Public Bank untung 24 sen kepada RM15.10 dan Petronas Gas meningkat 26 sen kepada RM16.06.

Fraser and Neave mendahului kaunter paling untung dengan menokok 52 sen kepada RM31.60, diikuti oleh Malaysian Pacific Industries yang naik 48 sen kepada RM23.08 dan Hong Leong Financial meningkat 44 sen kepada RM14.38.

Bagi saham aktif, Berjaya Corporation menambah tiga sen kepada 21.5 sen, Iris Corporation dan AT Systematization pula masing-masing meningkat setengah sen kepada 31 sen dan 12.5 sen manakala Vsolar tidak berubah pada 3.5 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas melonjak 80.34 mata kepada 10,684.34, Indeks FBMT 100 naik 76.45 mata kepada 10,485.11 dan Indeks Syariah FBM Emas meningkat 81.00 mata kepada 12,812.32.

FBM 70 pula menokok 96.17 mata kepada 14,019.17 dan FBM ACE melonjak 119.52 mata kepada 10,211.69.

Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 133.74 mata kepada 12,115.76, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.87 mata kepada 144.84 dan Indeks Perladangan meraih 21.20 mata kepada 6,928.17.

SUMBER
 

aliff92

Member
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah seketika sebelum melantun semula, mengambil petunjuk daripada prestasi bercampur-campur indeks saham AS Jumaat lalu.

Wall Street berakhir agak bercampur-campur berikutan keyakinan terhadap penyelesaian segera terhadap pakej rangsangan AS semakin pudar.

Pada 9.12 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 3.45 mata kepada 1,688.03 daripada 1,684.58 ketika ditutup Jumaat minggu lalu.

Ia dibuka lebih rendah sebanyak 2.12 mata kepada 1,682.46.

Pergerakan harga keseluruhan pasaran positif denga kaunter untung mengatasi rugi 394 berbalas 350 sementara 381 kaunter tidak berubah, 1,019 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 979.90 juta unit bernilai RM533.51 juta.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata walaupun sentimen di Wall Street bercampur-campur minggu lepas, minat urus niaga di pasaran tempatan kekal rancak.

"Perkembangan baik mengenai vaksin seperti pelancaran segera vaksin COVID-19 di UK, AS dan Kanada dalam tempoh terdekat menjuruskan kepada keyakinan bahawa pemulihan ekonomi berjalan lancar.
 

Fakhrii

Well-known member
Bursa Malaysia Turun Diheret Oleh Sentimen Wall Street Yang Lemah 📉

bursa-777-948x632.jpg

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia bercampur-campur, namun pelabur lebih berhati-hati mengenai sentimen rendah Wall Street selepas tuntutan pengangguran terbesar Amerika Syarikat (AS) yang mengatasi bantuan pakej rangsangan.

Pada 9.15 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 3.52 mata kepada 1,632.19 daripada 1,635.71 semasa ditutup semalam.

Indeks dibuka tinggi 1.56 mata kepada 1,637.27.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 281 berbanding 251, manakala 319 kaunter tidak berubah, 1,257 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 658 juta unit bernilai RM354.29 juta.

Presiden Joe Biden akan melancarkan pelan COVID-19 bernilai AS$1.9 trilion untuk membendung peningkatan kes COVID-19 dan mengukuhkan ekonomi AS.

Bagaimanapun, pasaran saham AS memberi reaksi negatif selepas laporan Jabatan Buruh menunjukkan tuntutan pengangguran awal melonjak sebanyak 181,000, paras tertinggi dalam tempoh lebih empat bulan minggu lalu walaupun pelabur melihat data yang kurang menggalakkan itu sebagai positif kepada pasaran berikutan ia dapat memberikan tekanan kepada penggubal undang-undang untuk meluluskan lebih banyak rangsangan.

Pada penutup, Dow Jones merosot 0.22 peratus, Nasdaq susut 0.12 peratus dan S&P berkurangan 0.38 peratus.

Malacca Securities berkata, menjejaki sentimen negatif di Wall Street, selain penurunan dalam FBM KLCI semalam, ia menjangka sentimen dagangan di peringkat tempatan tidak banyak berubah.

"Kenaikan dalam saham teknologi dijangka reda seketika, dengan pedagang mencatatkan keuntungan dalam tempoh beberapa hari ini.

"Berdasarkan beberapa sektor perlu beroperasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, syarikat akan dapat mencatatkan pendapatan sekurang-kurangnya pada suku tahun ini," katanya dalam nota hari ini.

Sementara itu, firma penyelidikan itu menjangka permintaan terhadap sektor pembinaan, bahan binaan serta minyak dan gas akan meningkat.

Katanya, kaunter minyak dan gas dijangka diniagakan tinggi hari ini berikutan sektor itu akan mendapat manfaat daripada harga minyak mentah yang kukuh, diniagakan melebihi AS$56 setong pada masa ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, kaunter perbankan rendah selepas meningkat semalam dengan Maybank susut sembilan sen kepada RM8.26, Public Bank turun 16 sen kepada RM21.54 dan CIMB merosot lima sen kepada RM4.09.

Press Metal susut 11 sen kepada RM8.56 dan Hartelega berkurangan 10 sen kepada RM12.20.

Daripada saham cergas, XOX dan Iris, masing-masing susut setengah sen kepada 10.5 sen dan 41 sen.

GPA naik satu sen kepada 12 sen dan JCY International berkurangan 5.5 sen kepada 53 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 16.37 mata kepada 11,733.05, Indeks FBMT 100 susut 23.10 mata kepada 11,465.51, manakala Indeks FBM Emas Shariah naik 11.49 mata kepada 13,227.06.

FBM 70 susut 23.61 mata kepada 14,815.89 dan FBM ACE naik 32.24 mata kepada 10.792.31.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 98.49 mata kepada 15,078.12, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.30 mata kepada 178.41, Indeks Perladangan meningkat 0.98 mata kepada 7,454.38 dan Indeks Penjagaan Kesihatan naik 3.93 mata kepada 3,623.08.

SUMBER

Macam-mana geng yang trade saham ? Anda trade saham apa ?
 
Last edited:

Fakhrii

Well-known member
Kenaikan Wall Street mendorong pasaran saham Malaysia dibuka tinggi

1611203736991.jpeg

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat pada awal dagangan pagi ini.

Ia seiring dengan prestasi Wall Street yang mencatat rekod tertinggi baharu selepas Joseph Biden mengangkat sumpah sebagai Presiden ke-46 Amerika Syarikat (AS) yang turut menyuntik sentimen optimis dalam kalangan peniaga.

Pada 9.05 pagi ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 10.94 mata kepada 1,612.48 daripada paras 1,601.54 sewaktu ditutup semalam.

Sewaktu dagangan dibuka, indeks petunjuk utama itu menokok 6.89 mata kepada 1,608.43.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 317 berbanding 126 manakala 280 kaunter lain tidak berubah, 1,398 tidak diniagakan dan 30 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 278.38 juta unit bernilai RM158.6 juta.

Sementara itu, Public Investment Bank menerusi nota penyelidikannya hari ini berkata saham-saham AS ditutup tinggi semalaman, dipacu oleh keyakinan bahawa pelan rangsangan bernilai US$1.9 trilion dikemukakan oleh pentadbiran Biden dapat menampan impak akibat pandemik COVID-19.

Indeks S&P 500 naik 1.39 peratus, Dow Jones menokok 0.83 peratus manakala Nasdaq meningkat 1.97 per cent.

SUMBER
 

Wen

Well-known member
Pasaran saham dibuka bercampur-campur

bursa-trader-bernama_1611544629.jpg

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia diniagakan bercampur-campur pagi ini selepas mencatatkan keuntungan minggu lalu, seiring dengan prestasi di pasaran serantau.

Pelabur dilihat mengambil sikap berhati-hati terutama menjelangnya mesyuarat Persekutuan AS pertama di bawah pentadbiran Joe Biden lewat hari ini.

Pada pukul 9.20 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.06 mata kepada 1,596.80 daripada 1,596.74 ketika ditutup minggu laku.

Indeks utama dibuka 3.80 mata lebih tinggi pada 1,600.54.

Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi untung 617 berbalas 183 manakala 289 kaunter tidak berubah, 1,209 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 904.80 juta unit bernilai RM590.42 juta.

Dengan mengambil petunjuk daripada prestasi bercampur-campur di Wall Street Jumaat lalu, Malacca Securities mengunjurkan lantunan yang perlahan di FBM KLCI minggu lalu akan lemah hari ini sementara sentimen pasaran dijangka berhati-hati menjelang mesyuarat pertama Rizab Persekutuan AS di bawah pentadbiran Biden serta tempoh urus niaga yang singkat minggu ini.

"Memandangkan musim pelaporan telah hampir, pelabur mungkin beralih kepada sektor-sektor terpilih dengan pendapatan yang tinggi sementara kes COVID-19 pula terus meningkat.

"Berdasarkan kepada musim pelaporan yang bakal tiba, kami menjangkakan sektor teknologi, perladangan dan perabot berpotensi menduduki tempat teratas dan akan menjadi perhatian peniaga," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan TNB masing-masing susut 4.0 sen kepada RM76.96 dan 9.74, Public Bank turun 18 sen kepada RM21.48, Petronas Chemicals jatuh 10 sen kepada RM7.27 tetapi Top Glove menambah 21 sen kepada RM6.46.

Saham paling cergas pula, Dagang Nexchange menokok 2.5 sen kepada 28.5 sen, Bioalpha naik 1.5 sen kepada 31.5 sen sementara QES turun 1.5 sen kepada 36.5 sen dan DGB Asia menyusut setengah sen kepada 8.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas lebih rendah sebanyak 39.24 mata kepada 11,524.38, Indeks FBMT 100 berkurangan 32.03 mata kepada 11,262.73 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 1.48 mata kepada 13,047.47.

FBM 70 merosot 168.35 mata kepada 14,733.33 dan FBM ACE turun 75.82 mata kepada 10,682.19.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 146.09 mata kepada 14,739.57, Indeks Perladangan susut 3.79 mata kepada 7,219.37 sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 2.55 mata kepada 174.80.


sumber
 

tupat

Moderator
Staff member
Moshed Trader Club
Rumours negara nak lockdown ekonomi lepas 4 Februari ni sebab byk kes dari tempat kerja (kilang). Bursa terus junam
 

Fakhrii

Well-known member
Dahsyat tu, harap semuanya akan beransur pulih kembali tapi kalau perkara tu betul akan terjadi adakah bursa terus menjunam lagi ?​
 

nabil

Moderator
Staff member
Moshed Trader Club
Dahsyat tu, harap semuanya akan beransur pulih kembali tapi kalau perkara tu betul akan terjadi adakah bursa terus menjunam lagi ?​
Akan jatuh seperti mula mula lockdown dulu.. Waktu tu bursa jatuh banyak
 

Fakhrii

Well-known member
Bursa Malaysia dibuka tinggi pada hari ini

1611718948545.png

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi Rabu ini, disokong oleh minat belian ke atas beberapa kaunter produk pengguna dan perkhidmatan terpilih di tengah sentimen pasaran Asia yang berhati-hati, kata peniaga.

Pada pukul 9.15 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 16.10 mata kepada 1,591.41 daripada 1,575.31 ketika ditutup pada Selasa petang.

Indeks utama dibuka 9.75 mata lebih tinggi pada 1,585.06.

Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 351 berbalas 192 manakala 336 kaunter tidak berubah, 1,274 tidak diniagakan dan 61 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah sebanyak 434.04 juta unit bernilai RM340.17 juta.

Menurut Malacca Securities dalam satu nota hari ini, ia menjangkakan beberapa aktiviti pembelian saham murah akan muncul dalam tempoh terdekat terutama menjelang musim pelaporan keputusan kewangan Februari ini.

Mengambil petunjuk daripada bursa serantau yang lain, FBM KLCI susut semalam ekoran jualan besar-besaran dalam kaunter berwajaran tinggi dan berkaitan dengan PETRONAS.

SUMBER
 

Wen

Well-known member
Bursa Malaysia kembali meningkat

Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini selepas cuti hujung minggu yang panjang, seiring dengan prestasi bursa serantau yang lain.

Prestasi di bursa tempatan turut didorong oleh momentum belian membabitkan kaunter berwajaran tinggi utama terutama dalam sektor perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan dan utiliti.

Pada pukul 9.02 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 10.53 mata kepada 1,576.93 daripada 1,566.40 ketika ditutup pada Jumaat.

Indeks utama dibuka 8.63 mata lebih tinggi pada 1,575.03.

Di pasaran lebih meluas, saham untung mengatasi rugi 265 berbanding 151 manakala 370 kaunter tidak berubah, 1,334 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 315.43 juta unit bernilai RM169.56 juta.

Pasaran ditutup pada Isnin sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Pada Isnin, pasaran saham AS bergerak tinggi apabila Dow meningkat 0.8 peratus selepas tumpuan beralih kepada rangkaian pengumuman pendapatan korporat tidak lama lagi daripada syarikat gergasi korporat seperti Amazon dan Alphabet.

Selain pasaran AS, pasaran Eropah dan Asia turut ditutup tinggi pada Isnin.

Menurut Malacca Securities dalam satu nota hari ini, ia berkata dengan menjejaki keuntungan semalaman bursa serantau dan Wall Street, peserta pasaran boleh mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan bukannya PKP yang ketat (walaupun dalam persekitaran kes COVID-19 yang meningkat) untuk bergerak ke hadapan bagi mengelakkan kejatuhan ekonomi.

"Oleh itu, kita mungkin menjangkakan pemulihan kecil dalam bergerak ke hadapan. Bagaimanapun, pemulihan itu boleh menarik aktiviti pengambilan untung kerana status COVID-19 Malaysia masih belum reda pada masa ini.

"Kita juga mungkin melihat beberapa minat urus niaga dalam sektor berkaitan kesihatan dan vaksin dalam waktu terdekat," katanya dalam catatan hari ini.

Bagi sektor yang lebih fokus, firma broker itu turut maklum dengan peningkatan kes COVID-19 seiring musim pelaporan kewangan yang akan datang, kaunter berkaitan sarung tangan mungkin terus berada dalam radar pelabur.

Sementara itu, ketibaan vaksin di Malaysia semestinya akan mencetuskan minat urus niaga dalam lingkungan syarikat vaksin serta pengangkutan dan logistik.

Selain itu, kaunter perladangan juga akan menyaksikan beberapa peningkatan semula berikutan kenaikan harga minyak sawit mentah.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik 13 sen kepada RM7.94, Top Glove meningkat 15 sen kepada RM6.89, Petronas Chemicals menokok lapan sen kepada RM6.79 dan Petronas Gas lebih tinggi sebanyak 28 sen pada RM16.32.

Saham paling cergas pula, Iris Corp menambah 1.5 sen kepada 45 sen, BIMB meningkat dua sen kepada 25 sen, Metronic naik setengah sen kepada 105 sen sementara IPK turun 2.5 sen pada 85 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 62.26 mata kepada 11,426.07, Indeks FBMT 100 mengukuh 64.52 mata kepada 11,169.45 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 75.51 mata kepada 12,946.37.

FBM 70 meningkat 46.45 mata kepada 14,793.79 sementara FBM ACE merosot 143.82 mata kepada 10,889.12.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 72.05 mata kepada 14,536.11, Indeks Perladangan menambah 8.90 mata kepada 7,106,79 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lebih tinggi sebanyak 0.47 mata menjadi 169.66.

sumber
 

Fakhrii

Well-known member
Pelabur asing menjual RM 535.5 Juta saham tempatan ?

1612248310291.png

KUALA LUMPUR: Pelabur asing menjual saham tempatan bernilai RM535.5 juta bersih pada minggu ketiga 2021 berbanding RM288.4 juta pada minggu sebelumnya.

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata pelabur antarabangsa memulakan minggu berkenaan dengan melupuskan sejumlah RM199.7 juta bersih ekuiti tempatan pada Isnin kerana mereka bimbang kemungkinan pelancaran vaksin yang perlahan boleh melambatkan pemulihan ekonomi global.

Begitu juga dengan indeks FBM KLCI yang mengalami permulaan awal yang kurang menyenangkan, menyusut 1.3 peratus Isnin minggu lepas untuk berada pada paras 1,576.6 mata, tidak seperti bursa serantau yang lain - Korea Selatan, Thailand, Jepun, dan Hong Kong yang mengakhiri urus niaga lebih tinggi, didorong oleh keyakinan daripada cadangan pakej rangsangan Amerika Syarikat (AS).

Momentum penjualan bersih asing meningkat kepada RM298.9 juta pada Selasa selepas sentimen pelabur terjejas oleh berita bahawa pakej rangsangan AS mungkin ditunda

"Presiden Joe Biden memaklumkan beliau terbuka untuk menyusun semula cadangan bantuan COVID-19 bernilai AS$ 1.9 trilion ketika kerajaan mencari perjanjian bagi kedua-dua pihak, walaupun tidak menolak untuk meneruskan laluan yang digunakan oleh Demokrat.

"Rentak penjualan ekuiti tempatan oleh pelabur asing perlahan seketika pada Rabu dengan mereka hanya menjual RM81.3 juta bersih seiring dengan rakan Asia Tenggara yang lain seperti Thailand, Indonesia dan Filipina," katanya kepada Bernama.

Semasa pasaran dibuka semula selepas cuti umum sambutan perayaan Thaipusam, Adam berkata pelabur luar pesisir menjana pulangan sederhana dengan memperoleh ekuiti tempatan berjumlah RM44.4 juta bersih pada hari Jumaat.

Aliran masuk asing pada Jumaat menyaksikan rentetan penjualan asing selama lapan hari di Bursa Malaysia.

Secara keseluruhan, bulan Januari 2021 menyaksikan aliran keluar bersih asing sebanyak RM834.7 juta, menandakan aliran keluar bersih asing ke-19 berturut-turut daripada Bursa Malaysia.

SUMBER
 
  • Like
Reactions: Wen

Wen

Well-known member
GameStop: Bursa Malaysia tidak akan sekat jualan singkat di pasaran tempatan

(Gambar fail) Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift.

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd (Bursa Malaysia) tidak akan menyekat aktiviti penjualan singkat yang dikawal selia (RSS) susulan peningkatan urus niaga runcit yang dicetuskan daripada saham GameStop Corp oleh pelabur di Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift, berkata pasaran Malaysia adalah berbeza dengan apa yang berlaku di AS baru-baru ini sehingga menyebabkan kadar naik turun yang amat tinggi pada kaunter GameStop, yang mana mencetuskan kebimbangan meluas.

Beliau berkata, apa yang berlaku di GameStop baru-baru ini tidak akan berlaku di Malaysia kerana ia memerlukan satu urus niaga yang unik.

Katanya, di Malaysia, jualan singkat hanya dibenarkan ke atas sekuriti yang diluluskan dalam senarai RSS, iaitu 218 sekuriti. Dalam pada itu, had urus niaga juga dikenakan untuk mengelakkan aktiviti jualan singkat yang berlebihan.

"Selain itu dagangan RSS menghendaki pelabur sama ada meminjam Sekuriti yang Diluluskan untuk dijual singkat atau mempunyai pengesahan untuk meminjam sekuriti yang diluluskan.

"RSS mesti dilakukan dalam akaun yang ditentukan di mana pesanan jual mesti dibuat pada harga tawaran terbaik atau lebih tinggi.

"Bursa Malaysia bersama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menjalankan pemantauan masa nyata ke atas semua aktiviti dagangan untuk mengesan, menganalisis dan menangani kebimbangan terhadap dagangan dengan segera.

"Pelabur juga dinasihatkan sentiasa berwaspada terhadap ruang sembang di media sosial yang cuba mempengaruhi mereka untuk membeli atau menjual saham khusus berdasarkan spekulasi atau khabar angin," katanya pada sidang media sempena taklimat keputusan kewangan 2020 Bursa Malaysia di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Ketidaktentuan harga saham GameStop, dianggap sebagai 'peperangan pelabur insitusi dengan pelabur runcit', bermula apabila beberapa pelabur institusi termasuk Melvin Capital melihat terdapat peluang menjana keuntungan daripada jualan singkat kaunter berkenaan. Langkah itu tentunya menyaksikan harga saham syarikat itu terjejas.

Namun begitu, pelabur runcit bertindak balas menerusi forum dalam aplikasi Reddit yang dikenali sebagai "WallStreetBets", yang mana secara berkumpulan membeli saham GameStop secara besar-besar. Ia susulan mereka berpendapatan saham itu adalah di bawah nilai, sekali gus memberi amaran kepada pelaksana jualan singkat.

Bertindak secara berkumpulan dan tersusun, pelabur runcit menolak tinggi harga kaunter berkenan sehingga 1,700 peratus, justeru menyebabkan pelaksana jualan singkat berdepan kerugian teruk. Ketika ini 'peperangan' itu beralih ke kaunter lain termasuk BlackBerry, AMC dan American Airlines.

Bagi jangkaan prestasi Bursa Malaysia tahun ini susulan pandemik COVID-19 yang masih belum menunjukkan tanda penurunan sehingga memaksa kebanyakan perniagaan mengecilkan operasi, Muhamad Umar berkata, Bursa Malaysia menyasarkan 30 tawaran awam permulaan (IPO) tahun ini.

Beliau berkata, pada 2020, pasaran berhadapan dengan ketidaktentuan disebabkan pandemik COVID-19 bukan saja diperingkat negara tetapi global.

Katanya, dengan impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu terhadap banyak perniagaan, kebanyakan syarikat perlu menilai semula perniagaan, unjuran dan sebagainya.

Bursa Malaysia juga turut menyemak semula sasaran IPOnya pada tahun lalu kepada 25 penyenaraian berbanding sasaran sebelumnya sebanyak 40 IPO.

"Tahun ini kami mengharapkan dapat mencapai 30 IPO dan mungkin lebih. Tetapi persoalannya adalah syarikat ini berada dalam landasan untuk meneruskan penyenaraian ini.

"2020 kekal menjadi tahun yang unik kepada pasaran tetapi tahun ini diharapkan pasaran dapat terus mengekalkan prestasi kukuh.

"Pada tahun lalu, Bursa Malaysia hanya merekodkan 19 IPO sahaja," katanya.

Bursa Malaysia mencatatkan keuntungan selepas cukai, zakat dan kepentingan minoriti (PATZAMI) RM377.7 juta bagi tahun kewangan 2020 yang berakhir pada 31 Disember lalu.

Nilai itu meningkatkan 103.2 peratus berbanding RM185.9 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Pengukuhan PATZAMI pada 2020 itu disebabkan oleh peningkatan prestasi dalam Pasaran Sekuriti dan Derivatif yang mencatatkan pendapatan operasi yang lebih tinggi sebanyak RM778.8 juta.

Mengulas mengenai prestasi kewangan itu, Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata walaupun pasaran berhadapan cabaran kesihatan dan ekonomi yang berterusan, kebanyakan pasaran modal dengan kecairan domestik yang kuat seperti Malaysia mendapat manfaat daripada peningkatan kehadiran pelabur runcit domestik.

"Dibantu oleh kemudahan dagangan dalam talian dan persekitaran kadar faedah rendah yang kondusif, Nilai Dagangan Purata Harian (ADV) sekuriti meningkat dua kali ganda daripada RM1.93 bilion pada 2019 kepada RM4.21 bilion pada 2020.

"Keupayaan mencapai prestasi kewangan yang luar biasa ini adalah bukti kepada komitmen yang teguh melalui pelaburan yang berterusan.

"Ini memberikan asas yang kukuh, menyumbang kepada ketahanan pasaran modal Malaysia, yang merupakan salah satu yang terkuat di rantau ASEAN," katanya.

Abdul Wahid berkata, penanda aras FBMKLCI yang mengakhiri dagangan tahunan sebanyak 2.4 peratus lebih tinggi pada 1,627.21, adalah salah satu prestasi terbaik pasaran ekuiti di ASEAN.

Beliau berkata, ini mencerminkan keyakinan dan sentimen pelabur di pasaran Malaysia.

sumber
 

Wen

Well-known member
Momentum peningkatan Bursa Malaysia berterusan

Papan indeks Bursa Malaysia - Foto Bloomberg

KUALA LUMPUR: Saham-saham di Bursa Malaysia dibuka tinggi pada pagi Jumaat, mengambil petunjuk daripada keuntungan semalaman di Wall Street serta makluman terkini kerajaan Malaysia mengenai program vaksinasi COVID-19 yang dijadual dilancarkan menjelang akhir bulan ini.

Pada pukul 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.64 mata kepada 1,588.54 daripada 1,584.90 ketika ditutup petang Khamis.

Indeks utama dibuka 2.8 mata lebih tinggi pada 1,587.70.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 272 berbalas 129 manakala 265 kaunter tidak berubah, 1,464 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah sebanyak 252.31 juta unit bernilai RM128.41 juta.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada petang Khamis mengumumkan vaksin COVID-19 yang dihasilkan oleh syarikat Pfizer dan BioNTech akan diberikan secara percuma kepada 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu.

"Pengumuman itu berserta prestasi positif semalaman di Wall Street mampu meningkatkan sentimen secara keseluruhan di pasaran tempatan," ujar Malacca Securities Sdn Bhd dalam catatannya hari ini.

Ia berkata, saham berharga rendah akan terus menikmati momentum kenaikan kerana kecairan kekal baik di pasaran ekuiti.

Bagi fokus sektor hari ini, firma pembrokeran itu berkata memandangkan aktiviti ekonomi mungkin akan dimulakan kembali dalam masa terdekat, pihaknya menjangkakan minat perdagangan mungkin berkembang dalam lingkungan sektor yang sedang pulih seperti pembinaan, bahan binaan, hartanah dan pertaruhan.

"Sementra kaunter berkaitan teknologi, perabot dan vaksin akan terus rancak," katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM7.93, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.09, Petronas Chemicals meningkat sembilan sen kepada RM7.30 dan Tenaga tujuh sen lebih tinggi pada RM9.77.

Saham paling cergas pula, Mtouche tidak berubah pada lima sen, Solution Group turun empat sen kepada RM1.45 dan QES naik dua sen kepada 53.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 31.25 mata kepada 11,561.51, Indeks FBMT 100 menambah 29.06 mata kepada 11,291.90 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 35.59 mata kepada 13,130.50.

FBM 70 menokok 51.18 mata kepada 15,112.13 dan FBM ACE meningkat 50.11 mata kepada 10,966.94.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 23.44 mata kepada 14,623.35, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.03 mata kepada 175.74 sementara Indeks Perladangan melonjak 7.01 mata kepada 7,214.78.

sumber
 

Recommended Brokers

Kami hanya memilih broker yang terbaik!

INTRADAY Squawk

Klik Play ▶️ / tajuk berita untuk dengar Recap Pasaran

Live Forex Price

Live Crypto Price

Top